Sukan Medium Perpaduan dan Kesihatan Masyarakat.
Oleh : Mr Pai
Putatan – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam berkata, penganjuran perlawanan persahabatan badminton bersama kru serta penyampai radio dan berita RTM Sabah membuka ruang mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan kerjasama antara organisasi yang dianjurkan oleh DHRMedia.
Perlawanan yang berlangsung semalam (1 Oktober) di Arena Juara Putatan itu melibatkan pasukan Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) N34 Lumadan serta pasukan daripada Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).
Menurut Ruslan, aktiviti seumpama ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah dapat mengurangkan tekanan kerja harian.
“Sukan sebegini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi membantu menjaga kesihatan mental dan jasmani, selain memupuk semangat kerjasama. Kita juga dapat menimba pengalaman daripada mereka yang berkemahiran dan sering mewakili daerah dalam pertandingan badminton,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap kerjasama ini dapat diperluaskan pada masa akan datang dengan menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan seperti bola sepak, sepak takraw dan sebagainya di peringkat daerah mahupun negeri.
Ruslan turut menegaskan, hubungan mesra yang terjalin dengan RTM Sabah melalui program sukan akan memudahkan pelaksanaan kolaborasi bersama pada masa hadapan, termasuk penganjuran pelbagai program komuniti.