Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

Oleh : Mr Pai / Foto : Pergerakan Pemuda PBS N34 Lumadan 


LUMADAN – Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.34 Lumadan tampil dengan pendirian tegas mengecam tindakan melampau yang berlaku dalam Perhimpunan Mahasiswa “Gempur Rasuah” baru-baru ini, yang disifatkan sebagai demonstrasi liar yang menghina institusi negara dan mencetuskan provokasi berbahaya.

Ketua Pemuda PBS N.34 Lumadan, Sobri Abd Ladis menyifatkan tindakan membakar karikatur menyerupai Perdana Menteri serta kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej mahasiswa selaku golongan terpelajar.

“Tindakan provokatif seperti ini tidak hanya mencemar nilai demokrasi berperlembagaan, malah menjejaskan keharmonian negara dan menggugat rasa hormat terhadap institusi tertinggi negeri Sabah, iaitu Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, Pergerakan Pemuda PBS N.34 Lumadan telah membuat laporan polis sebagai langkah serius bagi mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam provokasi dan penghinaan tersebut.

“Kami tidak akan berdiam diri apabila institusi negara dicemari dengan budaya kebencian dan hasutan. Ini bukan kebebasan bersuara, ini adalah penyalahgunaan demokrasi untuk meruntuhkan nilai kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Sobri menegaskan bahawa Pemuda PBS Lumadan akan terus mempertahankan kedaulatan institusi diraja, sistem demokrasi yang sah dan nilai perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Bersatu dan Berani Demi Sabah Maju Jaya. Lumadan Sejahtera,” ujarnya menutup kenyataan.

Popular posts from this blog

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.