Mengangkat Legasi Srikandi Sabah: Dang Insum Diabadikan dalam Sejarah.

Oleh : Mr Pai / Foto : Hadie Oga


Beaufort – Satu majlis bersejarah bertemakan “Srikandi Dang Insum: Menyusuri Jejak Perjuangan” telah berlangsung di Ballroom, Gem Hotel Beaufort, memperlihatkan komitmen pelbagai pihak dalam mengangkat kembali kisah perjuangan tokoh wanita tempatan, Dang Insum, ke persada sejarah negeri.

Majlis Pelancaran Kajian Srikandi Dang Insum ini turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, yang menyatakan penghargaan terhadap usaha pendokumentasian secara ilmiah tokoh wanita yang cukup sinonim dengan keberanian dan semangat juang masyarakat Bisaya.

“Dang Insum bukan sekadar satu nama beliau adalah simbol keberanian wanita Sabah menentang penjajahan North Borneo Chartered Company (BNBC) sekitar tahun 1884 hingga 1889. Perjuangan beliau dalam mempertahankan Kota Makarang bersama masyarakat Bisaya, Melayu Brunei dan Dusun wajar diangkat semula sebagai sumber ilham generasi muda,” ujar Ruslan di Facebook rasminya.

Beliau turut berkesempatan menyertai lawatan menziarahi tapak perkuburan dan tugu peringatan Dang Insum di Padas Damit, bersama-sama para penyelidik, peserta dan delegasi jemputan. Lawatan ini menjadi simbolik penting dalam usaha menghubungkan semula generasi masa kini dengan akar sejarah mereka.

Satu pembentangan hasil kajian awal telah disampaikan oleh penyelidik utama, Encik Baszley Bee dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang memperincikan latar perjuangan dan konteks sejarah yang melingkungi sosok figura Dang Insum. Kajian ini dijangka akan menjadi asas kepada usaha penulisan sejarah, penerbitan dan bahan pendidikan berkaitan tokoh berkenaan.

Dalam sesi perkongsian yang berlangsung, Ruslan turut menyampaikan pandangan dan seruan agar generasi muda tidak meminggirkan sejarah perjuangan wanita tempatan, khususnya yang berasal dari komuniti luar bandar.

“Semoga semangat Dang Insum terus mengalir dalam darah anak muda Sabah menjadi suluh keberanian, ilmu dan jati diri,” tambah beliau.

Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan disokong oleh YBhg Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Binti DSP Mohd Dun yang juga merupakan pencetus utama projek dokumentasi tokoh wanita ini.

Usaha ini bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi satu langkah penting dalam membina naratif bangsa yang lebih seimbang dan inklusif menghargai sumbangan srikandi tempatan dalam lipatan sejarah negeri Sabah.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.