Fenomena Pasang Surut Lambatkan Surut Banjir di Beaufort.
Mr Pai
BEAUFORT – Paras Sungai Padas terus berada pada tahap bahaya apabila merekodkan bacaan 9.20 meter pada jam 8.00 pagi ini, melepasi paras bahaya 8.70 meter yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ruslan Muharam berkata, keadaan itu menyebabkan banjir yang melanda Beaufort sejak minggu lalu masih belum surut sepenuhnya, malah semakin meluas dengan melibatkan 42 buah kampung termasuk lapan kampung tambahan sejak malam semalam.
Menurut beliau, Kampung Padas Valley antara yang paling terjejas apabila jalan utama terputus hubungan akibat limpahan air. Situasi itu bukan sahaja berpunca daripada hujan berterusan, malah dipengaruhi fenomena pasang surut laut yang melambatkan surutnya banjir.
“Pada 9 haribulan lalu, kita telah memindahkan masyarakat dari Kampung Suasa, Bangkalalak dan kawasan sekitarnya ke pusat pemindahan sementara (PPS). Hingga hari ini mereka sudah seminggu berada di sana. Dengan penambahan lapan kampung yang terjejas sejak semalam, jumlah keseluruhan kini mencecah 42 kampung,” katanya.
Beliau mencadangkan Jawatankuasa Bencana Alam Daerah agar segera menyalurkan bantuan bakul makanan ke kampung-kampung yang terputus hubungan.
“Kita melihat kesusahan rakyat yang semakin mendesak dan langkah segera perlu diambil. Pada masa sama, masyarakat diingatkan agar sentiasa berwaspada kerana cuaca tidak menentu dan paras air sungai masih menunjukkan peningkatan,” tambahnya.
Setakat ini PPS Selagon, Dewan Seri Panglima Dun Banir serta Dewan Persatuan Bisaya telah dibuka. Sekiranya kapasiti tidak mencukupi, SMK Beaufort 3 akan dijadikan pusat pemindahan tambahan.
Dalam tinjauan semalam bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N34 Lumadan, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ruslan turut meninjau beberapa kawasan yang terjejas banjir meliputi Kampung Padas Valley, Batu 6 ½, Bukau, Pulai Manang, Limputung, Tamalangalong, Lumadan, Lumatai, sepanjang Jalan Zon Gadong dan Kampung Lago.
“Di Kampung Padas Valley, kenderaan sukar untuk masuk. Justeru perlu ada sekurang-kurangnya sebuah bot kecemasan untuk membawa pesakit ke hospital. Manakala di beberapa kampung seperti Suasa dan Bangkalalak, laluan masih boleh digunakan oleh lori tinggi atau bot sebagai alternatif,” jelasnya.
Beliau turut menggesa Jawatankuasa Bencana Daerah agar terus bersiapsiaga menghadapi kemungkinan lebih ramai mangsa dipindahkan dalam tempoh terdekat.