Bijak Menilai Maklumat, Elak Terpedaya Fitnah - Ruslan
BEAUFORT: Media sosial hari ini menjadi medium paling cepat menyebarkan maklumat, namun masyarakat diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya mempercayai setiap kandungan yang dikongsikan tanpa usul periksa.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ruslan Muharam, menegaskan bahawa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), ruang maya sering dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk menabur fitnah dan menanam kebencian terhadap kerajaan.
“Perkembangan teknologi sepatutnya mendekatkan masyarakat dengan maklumat yang benar. Malangnya, ada segelintir pihak yang menggunakan media sosial untuk memutarbelitkan fakta demi kepentingan politik.
“Tindakan seperti ini jelas berbahaya kerana mampu mengganggu keharmonian masyarakat dan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan,” katanya ketika merasmikan Dewan Perpaduan DHRM di Kampung Karangan, Beaufort.
Menurut beliau, baru-baru ini terdapat cubaan mengeksploitasi isu kematian seorang remaja, Allahyarhamah Zara Qairina, apabila video palsu direka dan disebarkan sehingga mencetuskan keresahan orang ramai.
“Pihak berkuasa berjaya mengesan dan menahan individu terbabit yang akhirnya mengaku melakukan perbuatan tersebut. Perkara ini menjadi peringatan jelas bahawa tidak semua yang tular di media sosial boleh dipercayai,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ruslan mengajak rakyat supaya lebih matang menilai maklumat yang diterima dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang hasutan, khususnya ketika suasana politik semakin hangat menjelang PRN.
“Kita tidak boleh memberi ruang kepada pihak yang sanggup menjaja fitnah dan meracuni fikiran rakyat. Negeri ini memerlukan kestabilan, bukan kebencian,” tegasnya.