Konvensyen Du’at Negeri Sabah 2025 Platform Perpaduan dan Kebangkitan Dakwah.
Oleh : Mr Pai
KOTA KINABALU – Konvensyen Du’at Negeri Sabah 2025 disifatkan sebagai medan penting dalam menyatukan para pendakwah dan asatizah bagi memperkukuh strategi dakwah yang lebih mantap, berkesan serta sesuai dengan realiti semasa.
Majlis yang berlangsung penuh barakah itu telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, yang turut hadir menyatakan sokongan penuh terhadap pengukuhan institusi dakwah di negeri ini.
Dalam ucapan alu-aluan selaku Timbalan Pengerusi Penganjur, Datuk Haji Ruslan bin Muharam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa konvensyen ini bukan sekadar himpunan untuk mendengar ceramah, tetapi membawa misi besar dalam menyelaras usaha dakwah agar tidak berselerak, selain melahirkan pendakwah yang kreatif, profesional dan relevan dengan dunia digital.
“Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125 mengingatkan kita supaya menyeru manusia kepada jalan Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik. Inilah misi dakwah kita, bukan dengan caci maki, tetapi dengan kasih sayang dan pendekatan bijaksana,” ujar beliau.
Ruslan turut menekankan bahawa cabaran dakwah masa kini semakin getir apabila media sosial menjadi rujukan utama generasi muda, budaya asing masuk tanpa sempadan dan ideologi liberal mencabar akidah umat.
“Kalau bukan kita yang memimpin dakwah, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Biar satu ayat, tetapi jangan pernah berhenti berdakwah,” tegas beliau sambil menyeru para du’at untuk bangkit dengan ilmu, hikmah dan keberanian.
Beliau berkata, pendakwah masa kini mesti berani menembusi platform digital, menawan minda anak muda dan mendidik dengan pendekatan yang kreatif serta berstrategi.
Konvensyen anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah, JAKIM Cawangan Sabah serta NGO-NGO dakwah ini diharap menjadi wadah perpaduan, kebangkitan serta pengukuhan dakwah di bumi Sabah.