KEADILAN UNTUK ZARA QAIRANA – SOLIDARITI BERSAMA RAKYAT.
Oleh : Mr Pai
Lumadan – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menyatakan beliau tidak akan berdiam diri dalam memperjuangkan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairana Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Papar , satu insiden yang mengundang rasa pilu dan perhatian seluruh negara.
Menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook, Ruslan meluahkan rasa dukacita yang mendalam dan solidariti bersama masyarakat.
“Saya bukan hanya menyuarakan rasa sedih, tapi gema luka yang dirasai seluruh jiwa. Dalam diam, ada amarah. Dalam doa, ada harapan. Kami tidak akan berdiam. Keadilan untuk Zara Qairana mesti ditegakkan.”
Menariknya, video berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikongsikan bukan sekadar paparan visual, tetapi menjadi manifestasi pendekatan kreatif dalam menyampaikan mesej solidariti. Langkah ini memperlihatkan kematangan kepimpinan yang berpandangan ke hadapan, menggunakan kekuatan teknologi terkini untuk memastikan mesej sampai dengan pantas, meluas, dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya generasi muda. Ketika berita ini ditulis, video tersebut telah mencatat hampir 30 ribu tontonan, lebih 30 perkongsian, serta ribuan tanda simpati daripada warganet.
Antara komen yang mencuri perhatian datang daripada seorang pengguna Facebook, Abdillah AJ, yang menulis:
“Terbaik Datuk Terima Kasih… Solidarity begini yang kami rakyat harapkan…”
Insiden ini dilihat bukan sekadar tragedi peribadi tetapi menjadi isyarat jelas bahawa aspek keselamatan dan kebajikan pelajar memerlukan perhatian serius. Mesej solidariti yang diadun bersama teknologi moden ini diyakini mampu mengetuk pintu hati rakyat dan menguatkan desakan agar siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.