Keadilan Buat Zara Qairana: Ruslan Bersama Rakyat Menuntut Ketelusan.
Oleh: Mr Pai
Beberapa hari lalu, hantaran dari laman rasmi Facebook YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, telah menarik perhatian ramai apabila beliau berkongsi poster dengan wajah Allahyarhamah Zara Qairana yang disertakan dengan kenyataan tegas:
"Apa yang mereka lakukan adalah salah. Tapi kamu tidak bersendirian. Ramai yang peduli, dan kami berdiri bersamamu."
Hantaran tersebut bukan sahaja menjadi simbol solidariti, malah turut menyemarakkan gelombang tuntutan rakyat agar keadilan buat Zara ditegakkan. Ia telah menerima ribuan tanda simpati, diiringi ratusan komen dan perkongsian dari pelbagai lapisan masyarakat yang menyuarakan kesedihan dan kemarahan terhadap apa yang berlaku.
Antara komen yang mencerminkan perasaan masyarakat:
“JusticeForZara... Ya Allah, Ya Al-‘Adl (Maha Adil)... Aku serahkan sepenuhnya kezaliman ini kepada-Mu…”
“Semoga Allah membuka rahsia penganiayaan dan kezaliman serta penyiasatan kes Zara dilakukan dengan telus dan adil serta dibuat dengan penuh integriti…”
Ruslan, menerusi pendirian terbukanya itu, secara tidak langsung menyatakan sokongan terhadap suara rakyat yang mahukan ketelusan dan keadilan dalam kes berkenaan. Beliau berdiri bersama masyarakat yang prihatin, menyeru agar kes ini tidak dibiarkan berlalu tanpa jawapan yang tuntas.
Keadilan buat Zara bukan sekadar isu peribadi, tetapi kini menjadi lambang kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara. Harapan besar diletakkan agar siasatan dilakukan secara menyeluruh, bebas dari sebarang tekanan, dan berpaksikan kebenaran.