SENI PENYATU BANGSA: RUSLAN HADIRI ANUGERAH LAGU SABAHVFM 2025.
Oleh: Mr Pai
PENAMPANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan merangkap Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah dan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menghadiri Majlis Anugerah Lagu SabahVFM 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang, sebagai tanda sokongan terhadap pemerkasaan bahasa, seni dan budaya etnik tempatan di negeri Sabah.
Ruslan yang hadir bersama isteri, menzahirkan komitmen PBBS dalam mendukung agenda kebudayaan dan memperkukuh identiti pelbagai suku kaum di Sabah menerusi pentas seni yang inklusif dan progresif.
Majlis berprestij anjuran SabahVFM itu disempurnakan oleh YB Datuk Joniston Lumai @ Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, mewakili YAB Ketua Menteri Sabah.
Sebanyak 12 orang finalis telah terpilih untuk berentap di pentas akhir, dengan mempertandingkan empat kategori utama iaitu Lagu Kadazan, Lagu Dusun, Lagu Bajau dan Lagu Murut, melambangkan kekayaan bahasa dan budaya pelbagai etnik di negeri ini.
Penyanyi muda dari Tambunan, Lyron Felix, dinobatkan sebagai Juara Lagu SabahVFM 2025 menerusi lagu Hangadon Zou, ciptaan Raymond KSTV Stephen, Pontius Otigil dan Elvine Ng Nyuk Vui. Persembahan cemerlang Lyron melayakkan beliau membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.
Turut diumumkan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Lirik Terbaik yang dimenangi lagu Boros Ginawo, Anugerah Persembahan Terbaik diberikan kepada Sitipah Jahamin, manakala Anugerah Vokal Terbaik disandang oleh Mohd Rozaimi Rozali.
Dalam kenyataannya, Ruslan merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penganjur atas mutu acara yang disifatkannya sebagai medan penting untuk membina kekuatan identiti Sabah yang majmuk melalui seni.
“Anugerah ini bukan sekadar medan hiburan, tetapi wahana menyemai kebersamaan dan menyatukan kita sebagai rakyat Sabah yang berbudaya, berjati diri dan berakar kepada warisan masing-masing,” ujarnya.
Ruslan turut menegaskan komitmen PBBS untuk terus menyokong semua usaha yang memperkukuh warisan, bahasa dan ekspresi seni masyarakat tempatan demi membina masyarakat yang seimbang antara nilai dan kemajuan.