MESYUARAT AJK BAHAGIAN PBS N.34 LUMADAN: FOKUS PERSIAPAN MESYUARAT CAWANGAN & AGUNG TAHUNAN.
Oleh: Mr Pai
LUMADAN – Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.34 Lumadan yang dipengerusikan oleh YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Ketua Bahagian PBS N.34 Lumadan merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), memberi tumpuan khusus kepada perancangan dan persiapan pelaksanaan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan serta Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian.
Mesyuarat ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama AJK Bahagian dalam usaha menyusun gerak kerja secara sistematik dan berstrategi, meliputi aspek pentadbiran, penyelarasan logistik serta kesiapsiagaan cawangan-cawangan di seluruh kawasan Lumadan.
Menurut Ruslan, mesyuarat-mesyuarat ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh struktur organisasi, memperkemas urus tadbir dan menyemai budaya keterlibatan aktif dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
“Kekuatan PBS terletak pada disiplin organisasi dan semangat setia kawan yang berakar dari bawah. Justeru, kita mesti pastikan setiap cawangan bersedia, mantap dan terarah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan perlunya kerjasama erat antara semua jawatankuasa agar PBS N.34 Lumadan terus berada dalam landasan yang kukuh serta mampu berdepan cabaran politik semasa dengan keyakinan dan kesediaan.
PBS Bahagian kini berada dalam fasa penting konsolidasi, dan pimpinan di semua peringkat digesa untuk memberi komitmen sepenuhnya demi menjayakan musim mesyuarat yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.