SMK Beaufort III: Menjulang Nilai, Menyemarak Semangat Majlis Sanjungan Kasih Permata Kali Ke-11 Dirai Penuh Makna.

Oleh : Mr Pai 


BEAUFORT – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort III sekali lagi mencipta detik bermakna menerusi Majlis Sanjungan Kasih Permata Kali Ke-11, sebuah majlis tahunan yang bukan sekadar menyampaikan anugerah, tetapi turut menjulang nilai murni serta menyemarakkan semangat perjuangan dalam dunia pendidikan.

YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan merangkap Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), hadir menyempurnakan majlis dan menyatakan penghargaan kepada seluruh warga sekolah atas komitmen dan dedikasi dalam membentuk masa depan anak bangsa.

Menurut Ruslan, kejayaan para pelajar yang diraikan hari ini mencerminkan kisah-kisah luar biasa di sebalik angka keputusan dan piala anugerah.

“Kisah pelajar yang bangun awal pagi menuntut ilmu, guru yang pulang lewat memastikan kefahaman murid, dan ibu bapa yang serba sederhana tetapi tetap menyediakan buku serta harapan  inilah kekuatan sebenar yang harus kita sanjungi,” katanya.



Beliau menegaskan bahawa kejayaan bukan hadir secara kebetulan, tetapi lahir daripada pengorbanan, air mata, peluh dan doa yang tidak pernah putus. Justeru, beliau menyeru para pelajar agar terus melangkah ke hadapan dengan jiwa besar dan keberanian moral yang tinggi.

Dalam ucapannya, Ruslan turut menzahirkan penghargaan kepada para guru sebagai agen transformasi masyarakat yang tidak hanya mengajar, tetapi turut membentuk jiwa bangsa.

“Setiap nasihat, setiap senyuman yang diberikan oleh seorang guru mungkin menjadi cahaya harapan buat seorang pelajar yang hampir berputus asa,” tambahnya.


Beliau juga merakamkan penghormatan kepada ibu bapa yang tetap menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak, bukan hanya ketika mereka berada di puncak, tetapi juga saat mereka jatuh dan perlukan sokongan paling tulus.

Majlis yang berlangsung penuh berprestij itu turut diserikan dengan persembahan pelajar dan penyampaian anugerah kepada mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Ia menjadi simbol penghargaan terhadap usaha, semangat dan nilai-nilai yang menjadi teras kecemerlangan pendidikan.

Ruslan menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa semangat yang disemai melalui program sebegini akan terus menjadi pembakar semangat bukan sahaja untuk warga sekolah, tetapi untuk kemajuan negara secara keseluruhan.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.