Pesta Kaamatan 2025 Melabuhkan Tirai dengan Penuh Warna dan Semangat Perpaduan.

Oleh : Mr Pai 


KOTA KINABALU – Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 telah melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni, menonjolkan semangat perpaduan dan penghargaan mendalam terhadap budaya serta warisan rakyat negeri ini.

YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), menerusi satu hantaran rasmi di laman Facebook beliau, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sambutan tersebut, khususnya dalam usaha memartabatkan budaya komuniti Bisaya sepanjang festival berlangsung.

Ruslan mewakili masyarakat Bisaya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Haji Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah; YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia; serta YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor atas sokongan berterusan terhadap kelangsungan sambutan Kaamatan yang penuh bermakna ini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi PBBS yang gigih mengangkat budaya Bisaya, termasuk para artis kebudayaan, pemain alat muzik tradisional, penyedia makanan, pasukan keselamatan, petugas media, dan semua pengunjung yang menyerikan Walai Bisaya sepanjang Kaamatan.

Menurut Ruslan, penganjuran Kaamatan kali ini bukan sahaja berjaya mempamerkan keunikan setiap etnik di Sabah, malah menjadi platform memperkukuhkan ikatan masyarakat pelbagai latar belakang.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada juara dan para peserta Unduk Ngadau Kaamatan 2025, yang disifatkan sebagai lambang keindahan dan kehalusan budaya wanita Sabah.

Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada pengikut laman Facebook beliau yang sentiasa memberikan sokongan dan komen membina, serta mengikuti perkembangan semasa khususnya berkaitan usaha pembangunan dan pemerkasaan komuniti Bisaya serta warga Lumadan.

“Pesta Kaamatan telah melabuhkan tirainya, namun semangat kebersamaan dan cinta terhadap warisan budaya ini akan terus kami semarakkan demi negeri Sabah yang harmoni dan sejahtera,” katanya.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.