PEMUDA PBS ZON BANGKALALAK SERTAI KEM KEPIMPINAN BELIA N.34 LUMADAN.
Beaufort – Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Zon Bangkalalak telah menyertai Kem Kepimpinan Pemuda Belia N.34 Lumadan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jun 2025 lalu di Beringgis Resort, Papar.
Program tersebut menjadi medan penting dalam membentuk kefahaman mendalam mengenai asas kepimpinan, pengurusan organisasi serta perjuangan politik berteraskan rakyat. Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian yang bersifat pembinaan karakter dan kepimpinan berteraskan nilai-nilai murni.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi Facebook Pemuda PBS Zon Bangkalalak, mereka menyatakan penghargaan terhadap penganjuran program yang disifatkan sebagai penuh manfaat dan berimpak tinggi.
“Kami, Pemuda PBS Zon Bangkalalak telah menyertai dengan jayanya Kem Kepimpinan Pemuda Belia N.34 Lumadan yang telah diadakan pada 13 hingga 15 Jun 2025 bertempat di Beringgis Resort, Papar,” menurut kenyataan tersebut.
“Kami telah memperoleh pelbagai ilmu, pengalaman dan kesedaran yang amat bernilai. Kem ini telah membuka minda kami tentang erti kepimpinan yang sebenar, membina kemahiran asas dalam mengurus organisasi, serta memperkukuh kefahaman tentang struktur dan perjuangan parti politik.”
Kenyataan itu turut menyatakan sokongan penuh kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam, yang juga merupakan Ketua Bahagian PBS N.34 Lumadan.
“Lebih daripada itu, kem ini telah menyuntik semangat untuk terus menyokong YB Datuk Haji Ruslan Muharam, ADUN N.34 Lumadan merangkap Ketua Bahagian PBS N.34 Lumadan yang kami anggap sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, sentiasa dekat dengan masyarakat, memahami keperluan rakyat dan bekerja dengan penuh keikhlasan,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Pemuda PBS Zon Bangkalalak turut menzahirkan harapan agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas pelaksanaannya agar lebih ramai anak muda diberi peluang untuk digilap bakat, diperkasa ilmu serta disemai dengan semangat perjuangan yang tulen demi masa depan negara yang cemerlang.
Kem ini merupakan sebahagian daripada usaha konsisten PBS N.34 Lumadan dalam membangunkan kepimpinan muda di peringkat akar umbi, selaras dengan hasrat PBS N.34 Lumadan sendiri untuk melahirkan generasi pelapis yang berilmu, berwibawa dan setia kepada perjuangan parti.