PEMUDA PBS LUMADAN KECAM TINDAKAN MELAMPAU SEGELINTIR MAHASISWA DALAM PERHIMPUNAN “GEMPUR RASUAH”.
LUMADAN – Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.34 Lumadan menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir mahasiswa yang bertindak melampaui batas dalam Perhimpunan Aman “Gempur Rasuah” yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha PBS N.34 Lumadan merangkap Pegawai Parlimen P.178 Sipitang, Razlan Ali Asin, Pemuda PBS Lumadan menegaskan bahawa pihaknya menghormati prinsip kebebasan bersuara dan hak berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, sikap segelintir peserta yang dilihat provokatif, bernada melaga-lagakan institusi serta menjurus kepada retorik politik sempit adalah sesuatu yang amat dikesali dan tidak mencerminkan budaya rakyat Sabah yang menghargai keamanan serta saling menghormati.
“Kami sentiasa menyokong usaha memerangi rasuah, tetapi ia mestilah dilaksanakan secara berhemah, bertanggungjawab dan melalui saluran yang betul. Menjadikan agenda anti-rasuah sebagai platform untuk mencetuskan ketegangan atau menghasut rakyat adalah tindakan yang tidak wajar,” tegas Razlan.
Beliau turut mengingatkan golongan mahasiswa agar tidak mudah terpengaruh dengan elemen luar yang berpotensi membawa agenda tersembunyi serta boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Sebagai kelompok intelektual dan pewaris kepimpinan negara, mahasiswa sewajarnya menunjukkan contoh teladan yang baik. Mereka harus mengangkat pemikiran matang, mendukung nilai perpaduan dan memainkan peranan sebagai agen pembangunan negara, bukan alat kepada agenda politik sempit,” ujarnya.
Pemuda PBS Lumadan juga menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan masyarakat di Sabah, serta menolak sebarang bentuk hasutan yang boleh menggugat kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Kami berdiri bersama rakyat Sabah, demi memastikan negeri ini kekal sebagai contoh keharmonian, kesopanan dan keutuhan nilai bersama yang telah sekian lama menjadi kekuatan utama kita,” katanya.