PEMUDA PBS LUMADAN DI BARISAN HADAPAN PRN KE-17
LUMADAN – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.34 Lumadan tampil dengan semangat juang tinggi dan tekad padu untuk terus mempertahankan kerusi DUN Lumadan di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N.34 Lumadan, Razlan Ali Asin, dalam satu kenyataan rasmi menyeru seluruh anggota Pemuda untuk bangkit sebagai barisan hadapan perjuangan demi masa depan tanah air tercinta.
"Pemuda PBS, inilah waktunya kita bangkit! Lumadan bukan sekadar kerusi, tapi lambang harapan rakyat. Mari kita turun padang, bersatu suara, dan menangkan hati rakyat bersama GRS," katanya penuh semangat.
Menurut Razlan, perjuangan yang dibawa oleh GRS bukan sekadar misi politik, tetapi gerakan memperjuangkan aspirasi rakyat Lumadan yang menginginkan kestabilan dan pembangunan berterusan.
"Di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah, kita bukan sekadar bertanding kita membawa suara rakyat Lumadan. Lawan dengan bijaksana, menang dengan bermaruah!" tambahnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa PRN kali ini adalah medan ujian kepada semangat dan kesatuan anak muda dalam mencorakkan halatuju Lumadan yang lebih sejahtera.
"PRN ke-17 adalah panggilan perjuangan. Pemuda PBS, jadilah benteng dan barisan hadapan untuk membawa perubahan dan kestabilan di Lumadan!"
Mengakhiri kenyataan, Razlan menekankan bahawa setiap langkah yang diambil oleh Pemuda PBS bukan sekadar langkah biasa, tetapi sebuah misi yang penuh nilai dan makna untuk negeri tercinta.
"Langkah kita bukan langkah biasa, ini adalah misi membela tanah tumpah darah, maruah negeri, dan masa depan generasi. DUN N.34 Lumadan, kami datang dengan semangat perjuangan!"
Kenyataan ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa jentera Pemuda PBS Lumadan telah bersedia sepenuhnya untuk menggalas amanah rakyat serta memperkukuh kekuatan jentera GRS menjelang hari penamaan calon.