Kursus Asas Media Perkasa Generasi Muda Lumadan.
LUMADAN – Penerangan Pergerakan Pemuda PBS N.34 Lumadan telah menganjurkan Kursus Asas Penulisan, Gambar dan Video bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat ADUN N.34 Lumadan, sebagai langkah memperkasa generasi muda dengan kemahiran asas dalam bidang media kreatif.
Pengerusi Penganjur, Ag Saddamsyah Hussin yang juga Ketua Penerangan Pemuda PBS N.34 Lumadan dan Pemaju Mukim Zon Gadong, berkata kursus ini memberi fokus kepada penguasaan teknikal asas dalam penulisan, fotografi dan videografi bidang yang semakin penting dan relevan dalam dunia hari ini.
“Kita bukan sahaja ingin menambah kemahiran teknikal, tetapi juga membuka ruang kepada anak muda untuk menyampaikan cerita-cerita tempatan, mengekalkan warisan, dan menjadi agen perubahan melalui medium visual,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, beliau menghargai kesungguhan dan komitmen semua peserta yang hadir sepanjang program berlangsung.
“Saya amat menghargai semangat dan kehadiran tuan-tuan semua. Terima kasih kerana menjayakan kursus ini bersama kami,” ujar Saddamsyah.
Majlis telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan dan Ketua Bahagian PBS N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam.
Penganjuran ini diharap menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif membina yang mampu membentuk bakat dan suara anak muda Lumadan melalui platform media akar umbi.