KEM KEPIMPINAN BELIA PBS N.34 LUMADAN LAHIRKAN PEMIMPIN MUDA BERJATI DIRI.

Oleh : Mr Pai 


PAPAR – Kem Kepimpinan Pemuda Belia PBS N.34 Lumadan 2025 yang berlangsung di Beringgis Beach Resort, Papar berjaya mencapai objektifnya dalam melahirkan barisan pelapis muda yang berdisiplin, bersemangat tinggi dan berjiwa kepimpinan.

Majlis penutupan kem disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan. Beliau diiringi oleh barisan kepimpinan Bahagian PBS N.34 Lumadan termasuk Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita.


Dalam ucapannya, Ruslan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh jentera Pemuda PBS N.34 Lumadan atas kejayaan menganjurkan program yang sarat dengan nilai perjuangan dan semangat kekitaan.

“Kejayaan ini tidak hadir begitu sahaja. Ia adalah hasil daripada kerja berpasukan yang kukuh, semangat kental anak-anak muda dan kesungguhan untuk terus belajar serta berbakti kepada masyarakat,” ujar beliau.



Tambah Ruslan lagi, kem ini bukan sekadar menjadi tempat berkumpul, tetapi juga medan membentuk jati diri, menyemai semangat setiakawan dan membina jiwa kepimpinan yang mampu menggalas amanah masa depan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para fasilitator dan penceramah jemputan yang telah mencurahkan ilmu serta pengalaman, sekali gus memperkayakan pengisian program tersebut.


Lebih menarik, kem berkenaan turut diserikan dengan aktiviti qiamullail dan tazkirah, yang bukan sahaja memperkukuh aspek kerohanian peserta, malah membentuk kekuatan dalaman asas penting kepada kepimpinan yang berakhlak dan berwawasan.

Ruslan percaya, melalui wadah perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS), para peserta akan pulang bukan sahaja dengan sehelai sijil, tetapi dengan semangat, kesedaran dan bekalan ilmu yang cukup untuk menjadi pelapis kepimpinan Lumadan.

“Perjalanan kalian baru bermula. Teruskan langkah ini. Lumadan menaruh harapan besar pada semangat dan idealisme anak muda,” pesan beliau mengakhiri ucapan.



Program tiga hari itu menghimpunkan belia dari seluruh kawasan DUN Lumadan dan berjaya meletakkan asas kukuh untuk membina generasi pewaris yang bersedia memimpin dengan nilai, integriti dan semangat juang yang tinggi.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.