Karya AI Bertema Budaya: Ruslan Cetus Gelombang Baharu Komunikasi Pemimpin Rakyat.
Lumadan – Dalam usaha memodenkan pendekatan komunikasi bersama rakyat, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, mencipta kelainan apabila berkongsi satu lagi video berunsur budaya dengan sentuhan kecerdasan buatan (AI) di laman Facebook rasminya.
Ruslan sekali lagi mencuri tumpuan dengan perkongsian video AI yang merupakan kandungan keempat beliau dalam usaha memperkenalkan teknologi secara dekat kepada masyarakat luar bandar. Video pendek tersebut memaparkan gabungan elemen budaya tempatan bersama mesej inspirasi yang disampaikan melalui paparan visual yang unik dan menarik.
Dengan kapsyen penuh semangat:
“Setiap perubahan bermula dari kita sendiri. Dengan bangga saya pertahankan budaya sambil manfaatkan teknologi untuk rakyat Lumadan,”
Ruslan membuktikan dirinya sebagai pemimpin akar umbi yang proaktif dan progresif dalam memperkasakan rakyat melalui teknologi.
Setakat artikel ini ditulis, video berkenaan telah meraih hampir 4,000 tontonan. Untuk rekod, video AI pertama beliau sebelum ini mencatat hampir 10,000 tontonan ,satu angka luar biasa bagi kandungan berasaskan inovasi tempatan dan nilai budaya.
Antara komen yang mendapat perhatian ialah daripada Wom UG14, artis legenda tanah air yang popular dengan lagu Bunga Larangan, yang menulis ringkas:
“Mantap Datuk.”
Turut memberi reaksi ialah akaun rasmi SabahFM, stesen radio negeri yang menyatakan secara santai:
“Wah boleh tahan Datuk.”
Penggunaan AI oleh Ruslan bukan sekadar untuk hiburan, tetapi merupakan strategi komunikasi kreatif bagi memperkukuh nilai budaya dan perpaduan masyarakat. Langkah ini membuktikan bahawa teknologi moden dan warisan tradisi boleh bersatu dalam naratif pembangunan.
“Saya mahu rakyat Lumadan, khususnya anak-anak muda, melihat bahawa kita tidak harus takut kepada teknologi. Sebaliknya, kita harus menjadi pengguna yang bijak dan menjadikan ia alat untuk memperjuangkan warisan dan pembangunan,” tambah Ruslan lagi.
Inisiatif ini mengukuhkan kedudukan Ruslan sebagai pelopor awal dalam kalangan pemimpin Sabah yang aktif meneroka ruang baharu teknologi digital bukan sahaja dalam penyampaian maklumat, tetapi juga dalam pemeliharaan nilai dan jati diri tempatan.