Gotong-Royong Pembinaan Surau dan Madrasah Kg Labi Pasir Semarakkan Semangat Kebersamaan.
LABI PASIR – Semangat gotong-royong yang menjadi teras perpaduan masyarakat terus terserlah apabila penduduk Kampung Labi Pasir bersama barisan kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) N.34 Lumadan berganding bahu dalam usaha membina Surau dan Madrasah baharu di kampung tersebut.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam memaklumkan bahawa beliau turut menyertai gotong-royong tersebut bersama barisan AJK Bahagian PBS N.34 Lumadan, para pemimpin setempat dan penduduk kampung.
Menurut Ruslan, gotong-royong ini digerakkan dengan semangat kebersamaan, tanpa mengira pangkat atau latar belakang. Yang menjadi keutamaan hanyalah keikhlasan hati untuk menyumbang tenaga demi membina rumah Allah.
"Tiada beza pangkat atau latar, yang ada hanya hati yang ikhlas mahu menyumbang untuk rumah Allah,” ujar beliau.
Tambah Ruslan, surau dan madrasah ini bakal menjadi pusat ibadah dan pendidikan untuk masyarakat setempat -tempat anak-anak mengenal agama, dan ruang untuk komuniti berkumpul dalam suasana harmoni serta penuh nilai murni.
"Inilah budaya gotong-royong sebenar, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dan inilah wajah sebenar Lumadan yang kita impikan sejahtera, bersatu, dan berjiwa besar,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan semangat luar biasa semua pihak yang terlibat dalam usaha murni tersebut, sambil mendoakan agar ianya menjadi amal jariah yang berpanjangan buat semua.