FAJAR AHAD YANG MENGHIDUPKAN JIWA DI MASJID DARUL IKHWAN.

Oleh : Mr Pai / Foto : Facebook DHRM 


BEAUFORT – Suasana fajar Ahad di Masjid Darul Ikhwan, Desa Lestari, Kg Suasa diserikan dengan kehadiran YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, yang turut serta bersama masyarakat setempat dalam Program Solat Subuh & Kuliah Subuh.

Program yang bermula seawal jam 4.30 pagi itu memperlihatkan semangat luar biasa dalam kalangan penduduk yang hadir memenuhi ruang masjid demi menghidupkan ibadah Subuh secara berjemaah.

Menurut Ruslan, program ini bukan sekadar rutin ibadah tetapi juga sebagai satu wadah memperkukuh ukhuwah serta menyuburkan roh keimanan dalam kalangan masyarakat.

"Saya amat tersentuh melihat wajah-wajah jemaah yang hadir penuh keikhlasan dan rindu kepada suasana Subuh berjemaah. Inilah bukti bahawa fajar bukan sekadar waktu, tetapi permulaan baru dengan ibadah, ilmu dan kasih sayang sesama insan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau.


Selain solat Subuh berjemaah, program turut diserikan dengan kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Tahir bin Manaf, yang membawa tazkirah penuh pengajaran dan menyentuh hati. Program kemudian diteruskan dengan amalan Solat Terbit Matahari (Isyraq), yang jarang diamalkan namun memiliki ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara Pejabat ADUN N.34 Lumadan, Rukun Tetangga Sipitang dan Masjid Darul Ikhwan, sebagai satu usaha menghidupkan budaya Subuh dalam komuniti serta memperkukuh nilai spiritual dalam kehidupan seharian.

Ruslan berharap agar semangat Subuh seperti ini dapat dijadikan amalan berterusan, bukan hanya pada hari minggu, tetapi mekar menjadi budaya harian yang menyinari masyarakat dengan keberkatan.

"Semoga semangat ini terus mekar dalam jiwa kita semua dan menjadi titik tolak kepada pembentukan masyarakat beriman dan bersatu hati," tambah beliau.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.