ZIARAH KASIH BUAT BAKAL DHUYUFURRAHMAN: PEMBANTU MENTERI SANTUNI JEMAAH HAJI DARI LUMADAN.
LUMADAN – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, telah menziarahi beberapa bakal jemaah haji dari kawasan Lumadan sebagai tanda kasih, sokongan dan penghormatan kepada mereka yang bakal menjadi tetamu Allah SWT pada musim haji tahun ini.
Ziarah dimulakan di kediaman Musli dan isteri di Taman Sri Arjuna, sebelum diteruskan ke Taman Foh Sang bagi menziarahi beberapa lagi jemaah iaitu Mohd Asri bin Haji Abd Rahman, Anuar Madan, Sabtu Madan dan Daniel Ruslin.
Menurut Ruslan, ziarah tersebut merupakan simbol keprihatinan dan kasih sayang masyarakat Lumadan terhadap para dhuyufurrahman yang bakal menunaikan rukun Islam kelima.
“Menunaikan haji bukan sekadar perjalanan fizikal, ia adalah perjalanan rohani yang mendidik jiwa menjadi lebih sabar, tawaduk dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT,” ujarnya ketika berkongsi pengalaman dan nasihat.
Beliau turut menitipkan beberapa pesanan penting sebagai panduan buat para jemaah, antaranya agar sentiasa memperbaharui niat, bersabar dalam menempuh ujian, merebut setiap saat untuk beribadah, merendahkan diri serta menjauhi riak, selain tidak melupakan untuk mendoakan kebaikan buat kampung halaman, negeri dan umat Islam secara keseluruhan.
Ruslan mendoakan agar semua jemaah dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, serta memperoleh haji yang mabrur.
“Semoga mereka pulang dengan membawa keberkatan, dan menjadi pemangkin kesedaran rohani dalam kalangan masyarakat kita,” tambah beliau.