Sumbangan Ikhlas Artis dan Aktivis Seni Bisaya Buat Mangsa Kebakaran di Kampung Suasa.
BEAUFORT, 3 Mei 2025 – Gabungan dua kumpulan seni tempatan, Team Sangkulayan dan Kelab Ikou Oni, tampil menyantuni salah seorang ahli mereka, Cik Fatihah Sailin, yang terkesan akibat tragedi kebakaran baru-baru ini di Kampung Suasa, Beaufort.
Dalam kejadian malang tersebut, rumah keluarga Cik Fatihah musnah sepenuhnya termasuk tiga buah kenderaan yang turut hangus dijilat api. Abangnya mengalami kecederaan di bahagian tangan manakala bapa mereka kini sedang menerima rawatan rapi di Wad Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu akibat melecur teruk di bahagian dada, tangan dan leher.
Melihat kesengsaraan yang dialami rakan seperjuangan mereka, ahli-ahli kedua-dua kumpulan tersebut menggerakkan inisiatif bantuan segera. Hasil kutipan sumbangan daripada kalangan ahli telah berjaya mengumpul sebanyak RM1,315, yang kemudiannya diserahkan terus kepada Cik Fatihah oleh rombongan penggiat seni yang diketuai oleh Sharayal Malih @RillRie, Pengerusi kedua-dua kumpulan.
Menurut RillRie, kumpulan mereka bukan sekadar aktif dalam penerbitan lagu-lagu dalam Bahasa Bisaya dan Melayu, malah turut menjiwai peranan sebagai sebuah keluarga seni yang prihatin dan cakna kebajikan sesama ahli.
"Kami akan terus menggerakkan bantuan sekiranya ada dalam kalangan ahli yang ditimpa musibah. Ini adalah salah satu komitmen kami untuk tidak membiarkan ahli berjuang sendirian,” katanya.
Turut hadir dalam rombongan penyerahan sumbangan ialah Brother Nawi, artis Bisaya terkenal MD Pirus, Kusnah Jaim, Lynda Kasaram bersama suami, Makdi Jinsin Mantau, Adik Irfan serta Ustaz Faizal Sulaiman.
Cik Fatihah dalam nada sebak menyatakan penghargaan yang tidak terhingga atas keprihatinan rakan-rakan seperjuangan, serta mendoakan agar semua yang membantu diberi ganjaran kebaikan oleh Allah SWT.