Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.
Seorang pemain muda bola baling mencuri tumpuan selepas terpilih mewakili Sabah dalam Kejohanan Bola Baling Lelaki Bawah 12 Tahun yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 28 Mei ini.
Mohd Rayyan Syaqif bin Mohd Faizal, murid Tahun 6 dari SK Rancangan Klias, mencipta sejarah sebagai pelajar pertama sekolah itu yang berjaya menembusi pentas negeri dalam sukan bola baling. Lebih manis, Rayyan turut dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik di peringkat Zon Klias, Zon Pekan dan Daerah Beaufort satu pencapaian luar biasa bagi atlet muda yang baru menyertai sukan ini awal tahun lalu.
Berusia 12 tahun dan berasal dari Kampung Datung Melabau, Rayyan bukan asing dalam dunia sukan peringkat sekolah. Sejak Tahun 3, beliau aktif dalam pelbagai acara seperti larian, lompat tinggi, lontar peluru, bola sepak dan ragbi. Namun, bola baling kini menjadi fokus utama selepas menunjukkan prestasi cemerlang di setiap peringkat pertandingan.
Dalam masa yang sama, Rayyan juga layak mewakili acara lontar peluru ke kejohanan peringkat daerah di Sipitang, tetapi memilih untuk menumpukan perhatian kepada tanggungjawab sebagai pemain negeri.
Anak ketiga daripada empat beradik ini juga merupakan adik kepada Mohd Irfan Syaqil, juara U Got Talent Sabah 2025, sekaligus menonjolkan kepelbagaian bakat dalam keluarga tersebut.
Rayyan menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke sekolah sukan sekiranya diberi peluang, dengan cita-cita menjadi atlet profesional suatu hari nanti.
Sokongan berterusan daripada guru besar, warga pendidik serta ibu bapanya menjadi antara faktor utama kejayaan awal Rayyan dalam bidang sukan.