Sentuhan Kasih & Jualan Rahmah MADANI Bantu Ringankan Beban Rakyat Luar Bandar.

Oleh : Mr Pai / Foto : Diyanah 


BEAUFORT – Usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup diteruskan menerusi Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Perpaduan DHRM, Kampung Lago, Beaufort.

Program ini telah disertai oleh YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan merangkap Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), bersama YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta YB Datuk Matbali bin Musah, Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia.


Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah cabutan bertuah kepada pengunjung, penyerahan sumbangan bakul makanan dan wakalah zakat, sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Common Tower Technologies, bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta usahawan muda, dan sesi walkabout Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Menurut Ruslan, program seperti ini bukan sahaja menyantuni keperluan rakyat luar bandar, malah turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memperoleh maklumat, menerima bantuan dan mencipta peluang ekonomi secara terus.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KPDN serta semua agensi, NGO dan penyumbang yang bersama menjayakan inisiatif murni ini. Inilah wajah sebenar sebuah kerajaan yang prihatin turun padang, mendengar dan menyantuni rakyat dengan kasih sayang,” katanya.


Program ini turut dilihat sebagai manifestasi iltizam Kerajaan Perpaduan dalam meneruskan agenda MADANI yang mengutamakan kebajikan, kesejahteraan dan pemerkasaan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.