Ruslan Lakukan Kunjungan Hormat ke Pengerusi SESB.
KOTA KINABALU – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), YB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, di ibu pejabat syarikat tersebut di sini.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh jalinan silaturrahim serta membuka ruang perbincangan berkenaan keperluan dan cabaran semasa dalam penyediaan tenaga elektrik, khususnya di kawasan luar bandar termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Menurut Ruslan, pertemuan itu amat bermakna kerana ia memberi peluang untuk menyuarakan secara langsung aspirasi dan keperluan rakyat luar bandar dalam mendapatkan akses bekalan elektrik yang stabil dan menyeluruh.
“Saya amat menghargai sambutan mesra daripada YB Datuk Seri Wilfred yang menerima kunjungan ini dengan hati terbuka serta berkongsi komitmen SESB dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan utiliti di seluruh negeri,” katanya.
Tambah beliau, hubungan baik antara wakil rakyat dan institusi strategik seperti SESB penting dalam membina kerjasama berterusan demi kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, ruang kerjasama strategik yang diwujudkan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya agar pembangunan infrastruktur asas dapat terus dipacu secara menyeluruh dan inklusif,” katanya lagi.