MESYUARAT JAWATANKUASA PBS ZON BEAUFORT SELATAN PERKUKUH GERAK KERJA DI PERINGKAT AKAR UMBI.
BEAUFORT – Parti Bersatu Sabah (PBS) Zon Beaufort Selatan terus memperkukuhkan struktur dan gerak kerja organisasi menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Zon yang berlangsung pada petang ini di kediaman Ketua Zon, Lee Chin Lung @ John.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Lee itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Zon, Setiausaha, Bendahari, Ketua Pemuda serta semua Ketua Cawangan PBS di bawah Zon Beaufort Selatan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Lee menegaskan bahawa mesyuarat ini merupakan medan penting untuk menyusun pelaksanaan aktiviti-aktiviti terdekat dan menyelaras peranan setiap pemimpin di peringkat cawangan.
"Mesyuarat ini sangat penting bagi kita memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar serta mengenal pasti permasalahan yang dihadapi di peringkat kampung. Kita juga akan berbincang mengenai langkah-langkah untuk memperkukuhkan lagi struktur dan kesepaduan PBS di zon ini. Saya harap kerjasama daripada semua pihak dapat diteruskan demi kebaikan bersama," katanya.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah perancangan program zon dan cawangan, sesi mengenal pasti serta menangani isu-isu komuniti di kampung-kampung, serta cadangan penambahbaikan organisasi bagi mengoptimumkan gerak kerja parti.
Mesyuarat ini turut membuka ruang kepada para Ketua Cawangan untuk menyuarakan pandangan serta mencadangkan solusi terhadap cabaran di kawasan masing-masing, sekaligus memperlihatkan keterbukaan dalam kepimpinan PBS Zon Beaufort Selatan.
Semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan ahli mesyuarat jelas terpancar, mencerminkan iltizam PBS untuk terus menjadi wadah yang utuh dan berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan luar bandar.