KETUA BALAI BOMBA BEAUFORT YANG BAHARU LAKUKAN KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT ADUN LUMADAN.
LUMADAN – Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort yang baharu, PPgB Ishak Bin Jabas telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah N.34 Lumadan, Yang Berhormat Datuk Haji Ruslan Muharam di Pejabat ADUN N34 Lumadan, Bandar Mingo.
Kunjungan yang berlangsung pada 21 Mei 2025 itu bertujuan memperkenalkan diri beliau secara rasmi sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort yang mula bertugas berkuat kuasa 21 April 2025. Ia turut menjadi medan pertemuan awal yang menyemarakkan semangat kerjasama strategik antara pihak bomba dan kepimpinan masyarakat setempat.
Ruslan menyambut baik sesi suai kenal tersebut dan menyatakan penghargaan atas kesudian PPgB Ishak memperkenalkan diri serta menjalin hubungan erat dengan pihaknya.
“Saya amat menghargai kunjungan hormat ini. Semoga hubungan yang terjalin ini menjadi asas kepada kerjasama strategik antara pihak Balai Bomba dan komuniti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada PPgB Ishak atas pelantikan tersebut serta mendoakan agar amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan.