Kaamatan Untuk Semua: Menyulam Tradisi, Menyatukan Masyarakat.
Kaamatan Untuk Semua: Menyulam Tradisi, Menyatukan Masyarakat
Sodop Unduk Ngadau & Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Beaufort 2025 tampil dengan semangat perpaduan dan penghargaan terhadap warisan.
BEAUFORT – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menyifatkan sambutan Kaamatan sebagai wahana penting dalam menyulam ikatan perpaduan rakyat pelbagai suku kaum dan lapisan masyarakat di Sabah.
Berucap ketika merasmikan Majlis Sodop Unduk Ngadau & Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Beaufort 2025, Ruslan menyuarakan rasa bangga dan terharu kerana dapat bersama dalam satu majlis yang bukan sahaja meriah dengan warna-warni budaya, tetapi juga menyentuh jiwa dan menyatukan semangat kebersamaan.
“Tahun ini cukup istimewa apabila diperkenalkan kategori baharu Sugandoi Songotuan yang membuka ruang kepada peserta berusia 60 tahun ke atas. Ia merupakan penghargaan tulus kepada generasi terdahulu yang masih teguh menjunjung warisan seni dan budaya kita,” katanya.
Menurut Ruslan, Kaamatan bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi pentas besar bagi menzahirkan jati diri bangsa melalui tarian, muzik tradisional, bahasa dan busana warisan yang menjadi lambang identiti masyarakat Sabah.
“Setiap langkah tarian, bunyi gong dan sulaman busana adalah tafsiran siapa kita sebagai bangsa berakar kukuh, menjulang tinggi,” tegas beliau.
Sebagai Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, Ruslan turut menekankan pentingnya budaya sebagai tonggak kepada pembangunan insaniah, yang memberikan jiwa kepada kemajuan fizikal dan ekonomi.
“Budaya ini milik semua. Ia bukan hanya untuk dilihat, tetapi untuk difahami, dihargai dan diwariskan. Tanpa roh budaya, pembangunan akan jadi kosong dan tidak berakar.”
Tambah beliau lagi, majlis seperti ini juga memberi ruang kepada generasi muda untuk tampil di hadapan bukan hanya sebagai pewaris, tetapi sebagai penjaga legasi dan penerus perjuangan budaya bangsa.
Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan serta usaha gigih menjayakan majlis ini, di samping mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan jawatankuasa pelaksana yang bekerja dengan penuh dedikasi.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Pegawai Daerah Beaufort, Tuan Mohd Nazri bin Ajun, Ahli Parlimen P.178 Sipitang, YB Datuk Matbali bin Haji Musah, serta para tetamu jemputan yang lain.
Mengakhiri ucapannya, Ruslan menyeru agar semangat Kaamatan dijadikan pemangkin kepada usaha menyatukan hati rakyat Sabah dalam semangat saling menghormati dan menghargai kepelbagaian.