DUN Lumadan Fokus Mitigasi Banjir: Ruslan Gesa Tindakan Segera.

Oleh : Mr Pai 


LUMADAN – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam menegaskan keperluan mendesak untuk menyegerakan pelaksanaan langkah mitigasi banjir di kawasan-kawasan kritikal dalam DUN Lumadan.

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau beberapa lokasi yang sering dilanda banjir di sepanjang laluan Gadong - Bintuka, iaitu antara jalan utama yang menjadi nadi penghubung bagi penduduk tempatan.

Tinjauan tersebut turut disertai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Beaufort, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi teknikal lain bagi menilai situasi semasa dan membincangkan penyelesaian jangka panjang yang berkesan.


Antara langkah mitigasi yang sedang diperincikan ialah menaik taraf jalan-jalan rendah yang sering ditenggelami air, pembinaan sistem saliran baharu yang menyalurkan air ke Sungai Garama dan seterusnya ke Sungai Kota Klias, serta jajaran sungai baharu yang dicadang berdasarkan input teknikal agensi terlibat.

Menurut Ruslan, lebih 80 peratus kawasan di DUN Lumadan berada dalam laluan Sungai Padas, menjadikannya antara kawasan paling berisiko tinggi di daerah Beaufort, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.


“Keutamaan ketika ini ialah memastikan setiap cadangan mitigasi banjir diteliti secara menyeluruh agar selari dengan keperluan sebenar di lapangan, dan dapat dilaksanakan dengan keberkesanan yang maksimum,” tegas beliau.

Ruslan turut menzahirkan komitmen untuk terus membawa suara dan keperluan rakyat DUN Lumadan ke peringkat tertinggi agar tindakan segera dapat diambil demi kesejahteraan rakyat.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.