Doa & Harapan ADUN Lumadan Untuk Jemaah Haji.
LUMADAN – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama isteri, telah menziarahi beberapa penduduk DUN Lumadan yang bakal menunaikan ibadah haji pada musim ini.
Ziarah yang berlangsung dalam suasana penuh ketenangan dan keinsafan itu menjadi ruang buat Ruslan menyampaikan ucapan tahniah dan nasihat buat para tetamu Allah dari kampung-kampung sekitar.
Lawatan dimulakan di Kampung Maraba Laut, dengan kunjungan ke rumah Jali bin Ambun yang akan berangkat ke Tanah Suci sebagai dhuyufurrahman. Dalam pertemuan itu, perbualan menyentuh soal kesabaran dan keikhlasan yang menjadi asas penting sepanjang perjalanan ibadah haji.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Kampung Lingkungan Laut bagi menziarahi pasangan suami isteri, Wassim bin Nassurudin dan Tujuh binti Kamis. Menurut Ruslan, semangat dan persediaan mereka menjadi pengajaran buat semua dalam memahami makna sebenar kesungguhan dalam ibadah.
Di Kampung Laut Weston pula, ziarah diteruskan ke rumah Robiah Haji Matnor. Wajah tenangnya menggambarkan keikhlasan dan ketundukan hati sebagai tetamu pilihan Allah SWT.
Manakala di Kampung Ulu Weston, Ruslan turut menyantuni pasangan Zainal bin Kassim dan Rukayah Haji Anuar. Pasangan ini dilihat begitu bersedia secara fizikal dan rohani, memperlihatkan kesungguhan mereka dalam mengharungi ibadah yang agung ini.
“Dalam setiap ziarah, saya titipkan pesanan agar mereka menjaga niat, sentiasa bersabar dalam ujian, dan ingat bahawa mereka membawa doa serta harapan seluruh keluarga dan masyarakat Lumadan ke Tanah Suci,” ujar beliau.
Ziarah ini mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat, serta menjadi bukti bahawa doa dan harapan dari Lumadan sentiasa mengiringi langkah suci para jemaah ke Baitullah.