Belia Nadi Masa Depan: Sukan Pemangkin Kepimpinan.

Oleh : Mr Pai 


KOTA KINABALU – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam bersama isteri telah menghadiri perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Pergerakan Pemuda PBS N34 Lumadan dan RTM Sabah yang berlangsung di Stadium Likas, di sini.

Perlawanan tersebut yang telah lama dirancang akhirnya berjaya dilaksanakan dengan jayanya setelah beberapa kali tertunda akibat pelbagai kekangan. Ruslan dalam hantaran di Facebook menyatakan penghargaan dan pujian terhadap semangat kesukanan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan.

“Alhamdulillah, malam ini menyaksikan satu lagi kejayaan anak muda Lumadan. Walaupun tertangguh beberapa kali, semangat dan kesungguhan mereka untuk menjayakan perlawanan ini sangat membanggakan. Mereka bukan sahaja hebat di padang, tetapi sabar dan komited dalam memastikan program ini terlaksana,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan bahawa sukan bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi merupakan pemangkin kepada pembentukan jati diri, semangat berpasukan dan kepimpinan dalam kalangan belia.

“Kita mahu anak-anak muda sedar bahawa mereka bukan sekadar pemain bola, malah mampu berperanan dalam pembangunan kampung dan masyarakat, khususnya melalui platform rasmi seperti PBS,” ujarnya.

Tambah Ruslan, kehadiran pasukan RTM Sabah sebagai lawan turut memberi nilai tambah kepada program ini dengan menarik perhatian pihak media, seterusnya membantu menyebarkan mesej positif berkaitan perpaduan dan kepentingan penglibatan belia dalam pembangunan negara.

Menurut beliau, program seperti ini juga membuka ruang untuk bakat-bakat terpendam anak muda diketengahkan – bukan hanya dalam bidang sukan tetapi juga dalam kepimpinan dan perkhidmatan masyarakat.

“Ada kalanya, yang diperlukan hanyalah satu peluang. Peluang itu mungkin bermula di padang bola, namun tidak mustahil membawa mereka ke pentas kepimpinan,” katanya lagi.

Ruslan menyeru agar usaha mendekati golongan belia diteruskan dengan pendekatan yang dekat dengan minat dan jiwa mereka, sebagai pelaburan penting untuk masa depan Lumadan dan negeri Sabah keseluruhannya.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.