Beaufort Perlu Pelan Mitigasi Banjir Segera – Ruslan.
BEAUFORT – Kerajaan disaran memberikan tumpuan segera serta peruntukan khas bagi merangka pelan mitigasi banjir menyeluruh untuk daerah Beaufort yang sering terjejas banjir.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam berkata, banjir yang berlaku secara berulang bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah mendatangkan kerugian besar kepada negara.
“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara kita telah mengalami kerugian lebih RM900 juta akibat banjir yang melibatkan kerosakan rumah, aset awam, infrastruktur dan sektor pertanian.
“Daerah Beaufort antara kawasan yang kerap terjejas. Justeru, saya mencadangkan agar kita merancang satu pelan mitigasi banjir yang melibatkan penggunaan teknologi moden dari negara-negara maju yang terbukti berkesan,” katanya ketika ditemui media di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, tengah hari tadi.
Terdahulu, Ruslan meninjau keadaan di pusat berkenaan yang dibuka secara rasmi pada 2 Mei lalu untuk menempatkan mangsa banjir.
Seramai 231 orang daripada enam buah kampung kini berlindung di PPK Selagon. Kampung Suasa mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 120 orang daripada 38 keluarga, termasuk dua warga emas, dua bayi, dan seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kampung-kampung lain yang turut terjejas adalah Kampung Bangkalalak, Kampung Bukalau, Kampung Lumatai, Kampung Lago dan Kampung Balibata.
“Kami terus memantau keadaan cuaca semasa dan menyeru penduduk di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan semua,” tambahnya.
Ruslan turut menegaskan bahawa usaha akan terus digiatkan agar isu banjir di Beaufort mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan. Kesejahteraan dan keselamatan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dirancang dan dilaksanakan