Anak Jati Beaufort, Mohd Irfan Syaqil Dinobat Juara U Got Talent Sabah 2025.
KOTA KINABALU, 15 Mei 2025 — Anak muda berbakat dari Beaufort, Mohd Irfan Syaqil bin Mohd Faizal, mengukir kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan U Got Talent Sabah 2025 yang berlangsung pada 11 Mei lalu.
Irfan memikat hati juri dan penonton dengan persembahan bertenaga membawakan lagu Cinta, nyanyian asal Marsha Milan. Pertandingan anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini menampilkan 28 peserta dari seluruh negeri, namun hanya lapan terbaik mara ke pentas akhir — dan Irfan muncul sebagai pemenang utama.
Barisan juri profesional yang menilai pertandingan ini terdiri daripada Dr. Mohd Shahri bin Ramli selaku ketua juri, Puan Norain binti Abd Razak, serta Encik Razali Rahim, yang juga juara dunia dalam pertandingan World of Razali Kulintangan.
Sebelum kejayaan ini, Irfan bukanlah nama asing dalam dunia pertandingan nyanyian peringkat negeri. Antara pencapaiannya termasuk Naib Johan Lagu Etnik Bisaya Online anjuran Team Sangkulayan (2022), tempat ketiga dan persembahan terbaik MBS Idol (2024), Johan serta Vokal Terbaik dalam Mini Event Muhibbah Beaufort (2024), Johan Nyanyian Solo sempena Karnival Kesenian dan Kebudayaan Sipitang (2024), serta tempat ketiga dalam pertandingan Lagu Etnik Sabah anjuran Yayasan Sabah (Beaufort).
“Saya sangat teruja dan bersyukur kerana daripada 28 peserta, hanya lapan yang ke final dan saya berjaya dinobatkan sebagai juara. Saya akan sentiasa belajar teknik nyanyian yang lebih baik dan betul, serta cuba membina identiti sebagai penyanyi berkarakter dan berdaya saing. In shaa Allah,” katanya penuh semangat.
Dengan bakat, disiplin dan rekod pencapaian yang kian menyerlah, Mohd Irfan Syaqil dilihat berpotensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam industri seni suara, bukan sahaja di Sabah bahkan di peringkat kebangsaan.