YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM HADIRI MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI, PERSARAAN WARGA PENDIDIK SK PADAS DAMIT DAN KENDURI TAHLIL.
PADAS DAMIT, 9 April 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam hari ini menghadiri dua majlis yang mencerminkan nilai perpaduan, penghargaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada sebelah pagi, Ruslan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Majlis Persaraan Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Padas Damit. Majlis tersebut berlangsung meriah dalam suasana silaturahim yang mengukuhkan semangat kekeluargaan warga sekolah.
“Majlis ini bukan sahaja menyatukan warga sekolah dalam suasana Aidilfitri yang ceria, tetapi juga memberi ruang untuk kita menghargai jasa dan pengorbanan insan yang telah lama menabur bakti dalam dunia pendidikan,” kata Ruslan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penolong Kanan Pentadbiran yang diraikan dan mendoakan agar beliau terus dikurniakan kesihatan serta ketenangan dalam menempuh fasa kehidupan baharu. Ruslan turut memuji usaha pihak sekolah dalam menganjurkan majlis yang tersusun dan bererti.
Selesai majlis di SK Padas Damit, Ruslan turut menghadiri Kenduri Tahlil 40 Hari Allahyarhamah Jarih @ Jariah Akup. Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh ketenangan itu memperlihatkan kasih sayang serta penghormatan masyarakat kepada Allahyarhamah.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” ujar beliau dalam tulisan facebook rasminya.
Bagi Ruslan, majlis seperti ini adalah cerminan kekuatan ukhuwah dalam masyarakat saling bergembira dalam perayaan dan saling mendoakan dalam pengingatan.