USAHA MENANGANI ISU GANGGUAN ELEKTRIK DI KAWASAN LUMADAN.
BEAUFORT, 23 April 2025 – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.34 Lumadan, Diuslin Agustine, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Pejabat Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) Beaufort dalam satu sesi libat urus bersama Pengurus SESB Beaufort, Afif Eugene.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan isu gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di beberapa kampung dalam kawasan Lumadan termasuk Kg Bangkalalak, Kg Suasa, Kg Jabang, Kg Kukup, Kg Kangsa, Kg Indumadi, Kg Padas Damit dan kawasan sekitarnya.
Menurut taklimat yang disampaikan oleh pihak SESB, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan sistem bekalan elektrik, antaranya:
Penukaran talian lama jenis AAC kepada sistem ABC yang lebih moden dan tahan gangguan;
Meninggikan tapak pencawang bagi Penyuap Mentulud untuk mengurangkan risiko banjir;
Menangani masalah voltage drop khususnya di Kg Suasa;
Pemasangan sistem Auto-Recloser (AR) dan Distribution Automation (DA) di simpang Kg Bangkalalak.
SESB turut memaklumkan bahawa antara punca utama gangguan elektrik adalah faktor luaran seperti daun dan ranting pokok buah-buahan dan sawit yang terlalu hampir dengan kabel elektrik. Keadaan ini mudah menyebabkan gangguan apabila berlaku tiupan angin kencang atau hujan lebat. Gangguan daripada haiwan seperti monyet, tupai, tikus, kelawar dan burung turut dikenal pasti sebagai penyumbang kerosakan sistem.
Ruslan dalam sesi tersebut telah menyuarakan beberapa cadangan sebagai langkah bersama untuk menangani masalah ini secara holistik dan bersepadu. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak SESB Beaufort atas kerjasama dan komitmen mereka dalam memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil kepada penduduk Lumadan.
“Saya menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap keselamatan infrastruktur elektrik. Elakkan menanam pokok berhampiran kabel dan patuhi garis panduan yang ditetapkan. Harapan kita bersama adalah untuk tidak menanam pokok buah-buahan dan sawit di kawasan jajaran kabel elektrik agar gangguan bekalan dapat diminimumkan,” ujar Ruslan di Facebook.
Pihak ADUN Lumadan dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.34 Lumadan akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak SESB dalam memastikan bekalan elektrik yang lebih cekap, stabil dan selamat dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di kawasan ini.