SAMBUTAN AIDILFITRI: KELUARGA BESAR YB DATUK RUSLAN RAIKAN KEHARMONIAN MADANI.
BEAUFORT – Suasana Aidilfitri tahun ini membawa makna yang cukup mendalam buat Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, apabila beliau dan isteri tercinta berpeluang meraikan lebaran bersama seluruh ahli keluarga besar mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman rasmi Facebook beliau, Ruslan menzahirkan rasa syukur atas kurniaan dapat berkumpul sekali lagi dengan kelima-lima anak, lima menantu, dan 17 orang cucu dalam suasana yang penuh harmoni dan kasih sayang.
"Melihat wajah-wajah ceria anak-anak yang sudah berkeluarga, menantu yang semakin mesra serta cucu-cucu yang berlari riang di halaman benar-benar menghidupkan kembali suasana kemeriahan rumah seperti dahulu," tulis beliau.
Tambah Ruslan, meskipun anak-anak kini sibuk dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing, Aidilfitri tetap menjadi titik temu yang menyatukan kasih sayang dan keakraban keluarga.
"Setiap detik ini amat kami hargai. Kami menikmati kebersamaan ini sepenuhnya, kerana kami tahu masa bersama seperti ini semakin berharga dari tahun ke tahun," katanya lagi.
Ruslan turut menyifatkan keluarga sebagai anugerah paling besar dalam kehidupan serta mendoakan agar hubungan kekeluargaan yang erat itu terus diberkati dan dipelihara oleh Allah SWT.
Beliau menutup kenyataan dengan ucapan, “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin” kepada seluruh rakyat Lumadan dan seluruh umat Islam.