SAMBUTAN AIDILFITRI CERMİNAN PERPADUAN SABAH – RUSLAN.
Oleh : Mr Pai
KOTA KINABALU, 5 April 2025 – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam bersama isteri telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2025 yang berlangsung meriah di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Majlis yang penuh dengan suasana muhibah itu turut diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Tun Haji Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan isteri tercinta, Toh Puan Sri Hajah Faridah binti Haji Tussin. Turut hadir, YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, para menteri Kabinet Negeri, pimpinan kerajaan serta ribuan rakyat dari pelbagai latar belakang.
Menurut Ruslan, majlis rumah terbuka ini bukan sekadar simbolik sambutan lebaran, malah menjadi wadah memperkukuh keharmonian, menyemai kasih sayang serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah.
“Kehadiran rakyat dari segenap pelusuk negeri mencerminkan semangat perpaduan yang utuh serta tekad kita bersama untuk terus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di bumi Sabah yang tercinta ini,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional serta persembahan kebudayaan yang menampilkan kepelbagaian warisan dan budaya rakyat Sabah.
Ruslan turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas penganjuran majlis yang tersusun, meriah dan berjaya menghimpunkan rakyat dalam suasana penuh kegembiraan serta kekeluargaan.
“Semoga semangat Aidilfitri ini terus menyatukan hati dan mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” tambah beliau.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Lumadan khususnya dan warga Sabah amnya.