Program Jiwa Komuniti MADANI Kg. Suasa: Perpaduan Dirai, Ukhwah Diperkasa.
BEAUFORT, 13 April 2025 – Semangat kekitaan dan nilai MADANI terus disemai dalam kalangan masyarakat apabila Program Jiwa Komuniti MADANI peringkat Kampung Suasa berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah di Dewan Desa Lestari, pagi tadi.
Program anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia ini dirasmikan oleh YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, yang turut meluangkan masa menyantuni penduduk kampung dan menyertai beberapa aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.
Menurut Ruslan, inisiatif seperti ini amat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam memupuk perpaduan, kekeluargaan dan nilai-nilai murni di dalam bulan Syawal.
“Program sebegini bukan sahaja menceriakan suasana desa, bahkan mengukuhkan jalinan silaturrahim antara penduduk serta agensi-agensi kerajaan yang turut hadir memberikan khidmat,” katanya menerusi Facebook beliau.
Antara pengisian program yang menarik perhatian pengunjung termasuk kempen derma darah, saringan kesihatan, pertandingan busana raya, aktiviti menganyam ketupat serta cabutan tiket bertuah.
Sambutan hangat yang diterima jelas menggambarkan keterbukaan masyarakat Kampung Suasa terhadap usaha memperkukuh semangat komuniti melalui pendekatan inklusif dan harmoni.
“Marilah kita terus memelihara semangat kebersamaan dan kekitaan ini, demi membina Lumadan yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan berjiwa MADANI,” tambah Ruslan.
Program turut disertai pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan sosial dan kemasyarakatan di peringkat akar umbi.