PERSIAPAN ROHANI MENUJU TANAH SUCI.
KOTA KINABALU, 26 April 2025 –
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menghadiri Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Musim Haji 1446H/2025M peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) yang berlangsung di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, petang tadi.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif, yang mewakili YAB Ketua Menteri Sabah.
Dalam kenyataan di Facebook beliau, Ruslan berkata Kursus Perdana Haji bertujuan memberi kefahaman menyeluruh kepada para bakal jemaah berkenaan rukun, wajib dan sunat haji serta umrah, di samping membimbing dari aspek praktikal ibadah, penjagaan kesihatan, dan keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurut Ruslan, penganjuran kursus ini amat penting dalam memastikan para jemaah bersedia dari segi rohani, jasmani dan mental sebelum berangkat ke Mekah dan Madinah.
Beliau turut menzahirkan harapan agar segala usaha para jemaah dipermudahkan Allah SWT dan dikurniakan haji yang mabrur, di samping mendoakan agar perjalanan rohani mereka diberkati serta dirahmati.