Penutupan Penuh Kemeriahan di Kg. Mentulud, Karnival Sukan Raya 2025 Raih Sambutan Hangat.

Oleh : Mr Pai 


LUMADAN, 6 April 2025 – Penutupan Karnival Sukan Raya 2025 dan Pertandingan Karaoke Jaguh Raya yang berlangsung di Dewan Perpaduan DHRM, Kg. Mentulud malam tadi disambut dengan penuh kemeriahan, memperlihatkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam yang hadir menyantuni masyarakat sambil meraikan kejayaan penganjuran karnival tersebut.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg. Mentulud dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Sipitang dan Pejabat ADUN N.34 Lumadan itu berjaya menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Dalam ucapannya, Ruslan menzahirkan rasa syukur dan bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh masyarakat kampung dalam menjayakan program yang mampu memupuk semangat muafakat dan perpaduan sejati.

“Saya amat terharu melihat keterlibatan aktif penduduk kampung. Program seperti ini wajar dijadikan contoh kerana ia bukan sahaja menceriakan sambutan Aidilfitri, tetapi turut mengukuhkan hubungan antara sesama penduduk,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama penduduk, mendengar sendiri pandangan dan cadangan mereka dalam suasana santai. Kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila Ruslan menyampaikan duit raya sebagai tanda ingatan dan keceriaan Syawal.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pelbagai acara sukan rakyat serta pertandingan karaoke. Sorakan, tepukan dan gelak tawa mengiringi suasana, menggambarkan kemeriahan yang menyatukan seluruh komuniti.

Ruslan merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur, para sukarelawan serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas kejayaan menganjurkan program yang amat bermakna ini.

“Insya-Allah, saya akan terus menyokong dan memperjuangkan lebih banyak program seumpama ini di seluruh kawasan DUN N.34 Lumadan,” ujar beliau.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.