Pengurusan Masjid Cemerlang Gulau Jadi Contoh.
SIK, KEDAH – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam bersama rombongan telah mengadakan ziarah mahabbah ke Masjid Nurul Iman, Kariah Gulau, Mukim Gulau, Daerah Sik dalam rangka lawatan kerja rasmi ke negeri Kedah.
Masjid Nurul Iman dikenali sebagai antara masjid yang diurus secara cekap dan tersusun hasil semangat gotong-royong serta kerjasama erat penduduk kariah. Ketibaan rombongan disambut mesra oleh komuniti kampung yang sedang bergotong-royong menyediakan jamuan khas sebagai tanda penghargaan kepada tetamu.
Menurut Ruslan, masjid ini menyerlah bukan hanya dari segi seni bina dan fasiliti, malah dari sudut sistem pentadbiran, pengurusan dana serta penglibatan aktif komuniti setempat dalam memakmurkan institusi ibadah.
Antara kemudahan yang ditinjau termasuk ruang penyembelihan yang bersih dan sistematik, Dewan Gerakan Muslimah yang berfungsi serbaguna, ruang solat utama yang selesa dan teratur, bilik operasi masjid yang lengkap serta gazebo yang menjadi pusat perbincangan dan santai komuniti.
Lawatan diakhiri dengan pembentangan oleh pihak pengurusan masjid yang memperincikan struktur pentadbiran serta peranan masjid dalam pembangunan masyarakat melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan.
“Model pentadbiran masjid seperti di Gulau ini wajar dijadikan contoh di Sabah. Ia membuktikan bahawa apabila kariah bergerak bersama dengan semangat ukhuwwah, hasilnya adalah sebuah masjid yang hidup dan menyatukan,” kata Ruslan.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk membawa pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh sepanjang lawatan ke dalam usaha memperkasa peranan masjid di Sabah sebagai pusat ibadah, ilmu, kebajikan dan pemerkasaan ummah.