PELAJAR TINGKATAN 6 ATAS SMK GADONG IKUTI PERSIDANGAN DUN SABAH.

Oleh : Mr Pai / Foto : Facebook DHRM 


KOTA KINABALU, 17 April 2025 – Sekumpulan pelajar Tingkatan 6 Atas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong hari ini berpeluang mengikuti secara langsung perjalanan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dalam satu kunjungan ilmiah yang membuka ruang kepada generasi muda untuk memahami sistem demokrasi dan urus tadbir negeri.

Rombongan pelajar bersama guru pengiring bertolak dari SMK Gadong seawal jam 7.20 pagi sebelum tiba di Dewan Undangan Negeri Sabah. Sepanjang kunjungan tersebut, para pelajar menyaksikan sendiri perbahasan dan perbincangan berkaitan dasar-dasar penting pembangunan negeri yang dibentangkan oleh wakil-wakil rakyat.

Pengalaman ini memberikan pendedahan yang amat bermakna kepada para pelajar, bukan sahaja dari segi kefahaman terhadap struktur pentadbiran dan penggubalan dasar, malah turut membina kesedaran sivik dan semangat kenegaraan dalam kalangan generasi muda.


Sebelum rombongan berangkat pulang, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, berkesempatan bertemu dan beramah mesra bersama para pelajar di perkarangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ruslan menyatakan rasa bangga dan harapan tinggi terhadap minat serta kesungguhan para pelajar untuk mendalami hal ehwal negeri.

“Saya percaya pengalaman seperti ini amat berharga dan akan kekal dalam ingatan anak-anak kita. Ia mampu membentuk jati diri, mencetus semangat kepimpinan serta memberi pendedahan awal terhadap tanggungjawab terhadap negeri dan negara. Kunjungan ini juga diharap dapat membuat cakrawala pemikiran mereka terhadap pembangunan negeri dan kepentingan penglibatan dalam urus tadbir negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Ruslan turut meluangkan masa merakam gambar kenangan bersama para pelajar sebagai simbolik penghargaan dan sokongan terhadap usaha memperkasakan ilmu serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar luar bandar.

Kunjungan ini diharap menjadi titik tolak kepada pembentukan pemikiran matang dan berwawasan dalam kalangan pelajar, sekaligus melahirkan generasi pewaris yang cakna dan bertanggungjawab terhadap masa depan negeri Sabah.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.