MAJLIS PECAH TANAH SURAU BARU KG SUKAI: SEMANGAT WAKAF DAN PERPADUAN UMMAH TERUS SUBUR DI LUMADAN.
BEAUFORT, 21 April 2025 – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi Surau Baru Kampung Sukai, menandakan permulaan rasmi kepada pembinaan sebuah lagi rumah ibadah umat Islam di kawasan DUN Lumadan.
Dalam ucapannya, Ruslan menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap semangat jitu masyarakat Kampung Sukai yang beriltizam untuk merealisasikan pembangunan surau tersebut demi keselesaan dan kemakmuran ibadah penduduk setempat.
“Saya amat menghargai sumbangan hamba Allah yang telah mewakafkan tanah bagi tujuan pembinaan ini. Ia adalah satu amal jariah yang besar ertinya dan akan terus mengalir pahalanya selagi surau ini dimanfaatkan oleh ummah,” kata beliau.
Menurut Ruslan, pembangunan surau ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan sebelum ini di Surau Kangsa dan Surau Berumbai bukti nyata bahawa apabila ummah bersatu, segala cita boleh direalisasikan.
Beliau turut menyatakan bahawa pembangunan Surau Kampung Sukai ini akan bergerak seiring dengan perancangan membangunkan Surau Lago Laut dan Masjid Kukup, selain tiga lagi surau yang sedang dalam fasa perancangan: Surau Siak, Surau Lalangot dan Surau Labi.
Selesai majlis, Ruslan bersama para pemimpin masyarakat Zon Padas Damit turut meluangkan masa meninjau tapak cadangan pembinaan sebuah lagi surau di Kampung Gelila Jaya. Penilaian awal terhadap keperluan dan potensi pelaksanaannya sedang giat dijalankan.
“Saya menyeru kepada semua pihak untuk terus berganding bahu menjayakan projek-projek wakaf ini. Semoga setiap usaha yang dicurahkan menjadi saham jariah kita semua di akhirat kelak,” ujar beliau lagi.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran penduduk kampung, pemimpin tempatan serta tokoh masyarakat, mencerminkan kesatuan hati dan hasrat bersama dalam memperkasa syiar Islam di bumi Lumadan.