KEBAKARAN YANG MENGUJI, UKHWAH YANG MENYATUKAN.
BEAUFORT, 23 April 2025 – Sebuah insiden kebakaran yang berlaku sekitar jam 3 petang semalam di Kampung Suasa telah memusnahkan sebuah rumah kedai persendirian milik ahli masyarakat tempatan, Sailin Haji Kanalam, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.34 Lumadan.
Kebakaran tersebut mengakibatkan hampir keseluruhan struktur bangunan musnah, dianggarkan sehingga 90%, termasuk lima buah kenderaan yang turut hangus terbakar. Dalam usaha menyelamatkan diri dan ahli keluarga, Sailin mengalami kecederaan melecur dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
Susulan kejadian itu, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan merangkap Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), bersama Pegawai Pembangunan Daerah (CDO) N.34 Lumadan, Sobri Abdul Adis serta Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri (MAN) N.34 Lumadan, telah turun ke lokasi kejadian bagi meninjau kesan kerosakan dan menzahirkan keprihatinan kepada keluarga yang terlibat.
“Kejadian ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda yang besar, tetapi turut memberi kesan emosi yang mendalam kepada keluarga mangsa. Saya bersimpati dan bersedih atas musibah yang menimpa saudara Sailin serta seluruh keluarganya,” ujar Ruslan menerusi laman Facebook beliau.
Sejak berita kejadian kebakaran ini dikongsi, ramai netizen memberikan komen doa dan sokongan kepada keluarga mangsa. Berbagai-bagai ucapan kekuatan dan semangat telah diberikan di ruang komen, mencerminkan ukhwah dan solidariti yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Ramai yang mendoakan kesembuhan kepada Sailin dan berharap agar urusan beliau serta keluarga dipermudahkan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan nyawa sekiranya berlaku kejadian kebakaran, dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan di kediaman dan premis masing-masing.
“Semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada saudara Sailin dan mempermudahkan segala urusan beliau serta keluarga. Amin,” tambah Ruslan dalam kenyataannya.
Kehadiran pemimpin masyarakat ke lokasi bencana ini mencerminkan nilai solidariti dan semangat kebersamaan dalam menghadapi musibah, sejajar dengan aspirasi LumadanSejahtera.