Faizal Sulaiman Juara Pertandingan Lagu Etnik Sabah 2025.
BEAUFORT, 26 April 2025 – Penyanyi tempatan, Faizal Sulaiman, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Karaoke Lagu Etnik Sabah yang berlangsung di Beaufort Jaya, berhadapan Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah sempena Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Yayasan Sabah.
Faizal memikat hati juri melalui persembahan lagu etnik Bisaya Beaufort bertajuk “Ngaran Mu Dijun”, lagu asal nyanyian Jeff Musafir dari kumpulan Team Sangkulayan. Persembahan beliau yang mantap dan penuh penghayatan berjaya mengetepikan peserta lain untuk meraih tempat pertama.
Lebih membanggakan, anak beliau, Irfan bin Faizal, turut berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan sama menerusi lagu “Nandung Ku Dijun”, yang turut berasal daripada Team Sangkulayan. Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Jesmi Ungkud yang bertindak sebagai penyanyi asal, penulis lirik, komposer, pembuat muzik dan video klip.
Penampilan peserta diserikan dengan busana tradisional etnik Bisaya yang ditaja oleh pereka tempatan, RILL RIE DESIGNER, sekaligus memperlihatkan keindahan warisan budaya masyarakat Bisaya.
Pertandingan ini diadili oleh barisan juri berpengalaman iaitu Osman Jim’s, Rahim Zainal dan Puan Sharifah.
Tahniah diucapkan kepada Faizal Sulaiman dan Irfan atas pencapaian membanggakan ini yang bukan sahaja mengharumkan nama keluarga, tetapi turut mengangkat martabat lagu-lagu etnik Sabah ke tahap yang lebih tinggi.