Ceramah Perdana Ustaz Syamsul Debat Bakal Gegar Kudat 19 April Ini

Oleh: Mr Pai 


KUDAT – Warga Kudat dan kawasan sekitarnya bakal disajikan dengan satu program ilmiah yang dinanti-nantikan apabila Ceramah Perdana Ustaz Syamsul Debat akan diadakan pada Sabtu, 19 April 2025, bertempat di Dataran Tomborungus, Kudat bermula jam 7.00 petang hingga 11.00 malam.

Program anjuran daripada Pejabat ADUN N. 4 Tanjong Kapor Kudat, UPPM N. 4 Tanjong Kapor Kudat, JHEAINS Kudat, Badan Dakwah Daerah Kudat dan Lembaga Bandaran Kudat, dijangka menyatukan masyarakat pelbagai peringkat usia dalam satu majlis ilmu yang penuh manfaat.

Penceramah terkenal tanah air, Ustaz Syamsul Debat, akan menyampaikan ceramah bertajuk “Sabar & Toleransi Kunci Keharmonian”, satu topik yang amat relevan dalam era penuh cabaran masa kini. Gaya penyampaian beliau yang terkenal dengan jenaka bersahaja tetapi sarat dengan mesej ketuhanan dan keinsafan, pasti akan menghibur dan menyentuh hati para hadirin.


Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan memberi pengisian rohani kepada masyarakat setempat, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah sesama umat serta mengimarahkan ruang awam sebagai medan dakwah dan ilmu.

Masyarakat Islam khususnya, digalakkan hadir bersama keluarga bagi sama-sama menimba ilmu dan mengambil manfaat daripada nasihat yang akan disampaikan. Kehadiran golongan belia dan anak muda amat digalakkan sebagai usaha membina jati diri Islam yang kuat dan berprinsip.

Selain menjadi medan mendekatkan masyarakat dengan majlis-majlis ilmu, program seperti ini juga mencerminkan kesungguhan pihak berwajib dalam mendukung agenda pemerkasaan agama Islam di Sabah, khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Justeru itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Ceramah Perdana ini satu malam yang dijanjikan dengan ilmu, tawa, muhasabah dan kesatuan hati dalam menegakkan syiar Islam.

“Jom datang awal, bersama kita dengan pengisian bermakna bersama Ustaz Syamsul Debat,” demikian seruan penganjur kepada seluruh penduduk Kudat dan sekitarnya.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.