BERSUKAN & BERBAKTI: CERITA DARI GADONG.
BEAUFORT, 16 April 2025 – Sukan Olahraga Tahunan SMK Gadong 2025 berlangsung meriah di padang sekolah apabila Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam diwakili oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.34 Lumadan, Saudara Diuslin Augustine, untuk merasmikan acara tersebut.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pemaju Mukim Gadong, Saudara Saddamsyah Hussin bersama para guru, pelajar dan komuniti setempat yang hadir memberi sokongan. Acara ini menjadi wadah penting bukan sahaja untuk mencungkil bakat dalam bidang sukan, malah sebagai platform membina sahsiah dan semangat kesepaduan dalam kalangan generasi muda.
Menurut Ruslan, acara tahunan seperti ini menyemai nilai-nilai murni dalam diri pelajar dan perlu diteruskan demi masa depan yang lebih cemerlang.
“Saya sentiasa menyokong penuh usaha yang menjadikan sekolah sebagai ruang pembangunan sahsiah, semangat kesukanan dan disiplin diri. Terima kasih kepada pihak sekolah atas jemputan dan tahniah atas penganjuran yang tersusun,” jelas beliau di Facebook.
Dalam masa yang sama, Ruslan turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort yang telah membantu pelajar-pelajar asrama SMK Gadong pulang ke kampung halaman selepas beberapa kawasan di DUN Lumadan dilanda banjir.
Katanya, pelajar dari Kampung Suasa dan Kampung Bangkalalak terjejas apabila jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan kecil akibat limpahan air. Tindakan pantas APM Beaufort menyusun penghantaran pulang pelajar ini amat dihargai.
“Tindakan ini bukan sahaja meringankan beban keluarga pelajar, malah mencerminkan semangat kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi,” jelas beliau lagi dalam hantaran yang sama.
Tambah Ruslan, meskipun banjir itu satu ujian, namun dengan adanya keprihatinan dan semangat seperti yang ditunjukkan oleh APM Beaufort, segalanya mampu diharungi bersama.
“Terima kasih, APM Beaufort. Kalian wira yang tidak pernah meminta dikenang, namun tetap kami sanjungi,” ujarnya mengakhiri kenyataan.