Banjir di Beaufort: Matbali Musah Seru Pembinaan Perparitan Moden.
BEAUFORT, 14 April 2025 – Keadaan banjir yang berulang di kawasan Beaufort kini menjadi kebimbangan utama, terutamanya selepas hujan lebat yang melanda baru-baru ini menyebabkan beberapa kawasan terjejas teruk. Ahli Parlimen P178 Sipitang dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, YB Datuk Matbali Musah, menggesa kerajaan untuk segera mengambil tindakan bagi menangani masalah banjir yang semakin meruncing, dengan mencadangkan pembinaan sistem perparitan moden.
Matbali menjelaskan bahawa antara kawasan yang terkesan termasuk jalan menuju Kampung Luagan yang dilaporkan tenggelam, serta beberapa penduduk dari Kampung Suasa yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, melibatkan lebih 30 ketua isi rumah dan lebih 104 keluarga.
“Kejadian banjir ini sangat membimbangkan. Hujan lebat yang berterusan meningkatkan lagi risiko bencana ini. Saya berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera, antaranya dengan membina benteng banjir serta mewujudkan sistem perparitan moden bagi mempercepatkan aliran air banjir keluar dari kawasan ini,” ujar Matbali.
Beliau juga mencadangkan supaya kerja-kerja mendalamkan sungai dilakukan segera, terutamanya di kawasan yang mengalami hakisan teruk, termasuk di jalan Lumatai yang menjadi laluan utama ke Jabatan Baru Beaufort.
“Keadaan jalan di kawasan ini sangat membimbangkan. Ia telah diviralkan dan berisiko runtuh pada bila-bila masa. Sekiranya tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan musibah yang lebih besar kepada penduduk. Pihak berwajib tidak boleh memandang remeh isu ini,” tambahnya.
Matbali turut menekankan perlunya mempercepatkan pembinaan jalan alternatif, seperti di jalan Balibata dan kawasan Bangkalalak yang sering menjadi laluan utama penduduk.
Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan agar kerajaan meningkatkan infrastruktur sedia ada seperti benteng banjir di kawasan Pekan Beaufort dan Up Town yang telah dibina sebelum ini, selain menambah baik sistem kawalan air di kawasan Pangi.
“Pintu air di kawasan Pangi perlu ditambah baik untuk memastikan air banjir dapat mengalir dengan lebih lancar dan efisien. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan dengan baik, kita berharap masalah banjir ini dapat dikurangkan dengan ketara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN N34 Lumadan, yang bersama beliau dalam lawatan ke kawasan terjejas, serta agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, JKR dan lain-lain, untuk meninjau kawasan-kawasan yang memerlukan tindakan segera antaranya kawasan Luagan, Lawa, Suasa, dan Bangkalalak.
Akhir sekali, Matbali menyeru penduduk yang terlibat dengan bencana banjir agar sentiasa berwaspada dan memastikan keselamatan anak-anak mereka.
“Saya mohon semua ibu bapa untuk tidak membiarkan anak-anak bermain di kawasan banjir kerana ia boleh mendatangkan kemalangan, kecederaan malah kehilangan nyawa. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kita semua,” tegasnya.