AIDILFITRI DIRAI, PEMIMPIN & RAKYAT ERATKAN UKHUWAH.
TUARAN, 12 April 2025 – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dan keluarga yang berlangsung di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, pagi ini.
Majlis yang penuh kemeriahan ini menyaksikan kehadiran ribuan rakyat dari pelbagai latar belakang dan daerah, menjadikan sambutan Syawal ini sebagai medan memperkukuh silaturahim dan memupuk perpaduan di bawah naungan semangat Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya.
Ruslan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan tahniah kepada YAB Ketua Menteri atas penganjuran yang bukan sahaja meraikan lebaran, tetapi turut memperlihatkan keprihatinan seorang pemimpin yang sentiasa mendahulukan rakyat.
“Dalam kesibukan mentadbir urus negeri, YAB Datuk Seri Panglima tetap meluangkan masa menyantuni rakyat dengan penuh mesra dan rendah hati. Inilah contoh kepimpinan berjiwa rakyat yang wajar kita contohi,” ujar beliau.
Dalam kesempatan itu, Ruslan turut menyampaikan ucapan peribadi kepada Ketua Menteri.
"Selamat Hari Raya Aidilfitri, YAB Datuk Seri Panglima. Moga Allah SWT terus memberkati segala usaha YAB dalam memimpin dan memakmurkan negeri Sabah tercinta. Teruskan memimpin dengan hikmah, kasih sayang dan semangat Sabah Maju Jaya. Kami di Lumadan sentiasa menyokong penuh kepimpinan YAB."
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana terus menjadi pemimpin yang mengutamakan keharmonian rakyat dan kestabilan negeri dalam setiap dasar dan tindakan.