AI Pemangkin Baharu Gerakan Koperasi – Ruslan
BEAUFORT, 10 April 2025 – Koperasi di Sabah diseru untuk segera memanfaatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), automasi dan transaksi digital bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keselamatan operasi mereka.
Seruan itu disampaikan oleh YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.34 Lumadan semasa merasmikan Program Jom@Coop Wilayah Beaufort anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah.
Menurut Ruslan, koperasi tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah pengurusan konvensional, sebaliknya perlu bersedia menyahut perubahan dunia moden yang berasaskan teknologi dan kepintaran digital.
“Hari ini, kita hidup dalam dunia yang moden, berteknologi dan pantas. Maka sudah tiba masanya koperasi memanfaatkan AI dan sistem digital secara menyeluruh bukan sahaja dalam pentadbiran dan pemasaran, malah dalam menganalisis data dan menjangkakan keperluan pasaran,” jelas beliau.
Katanya, penggunaan AI membolehkan koperasi bertindak lebih cekap, memahami corak pembelian anggota, memperkemas rantaian bekalan serta mempertingkat kepuasan pelanggan satu anjakan yang menurutnya selari dengan teras Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya.
Ruslan turut menggesa IKMa dan koperasi-koperasi di Sabah agar meneroka potensi AI sebagai pelengkap kepada usaha pembangunan gerakan koperasi yang inklusif dan mampan.
“Pendekatan baharu yang dibawa IKMa hari ini turun padang memberi bimbingan terus kepada anggota sangat bertepatan. Saya percaya dengan dorongan IKMa, koperasi luar bandar kita akan terus berkembang sebagai pemacu ekonomi rakyat,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada IKMa atas komitmen dalam memperkukuh daya saing koperasi melalui latihan yang berorientasikan teknologi dan inovasi.